SAYU : BERSEMADI LAH DENGAN TENANG SAYANG ... SAYA SEBAK LIHAT JASAD ISTERI TERBUJUR KAKU DENGAN KESAN JERUT
MUAR : “Saya terkejut dan sebak lihat lehernya ada kesan jerut. Saya difahamkan semasa ditemukan, arwah dalam keadaan tidak terurus dan lebam di beberapa bahagian badannya dipercayai dipukul”.
Demikian reaksi suami seorang kerani sekolah agama yang menjadi mangsa rompak dan bunuh di Taman Setia Kasih, Sungai Terap, di sini semalam.
Faris Jaafar yang bertugas di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor Bahru yakin isterinya cuba mempertahankan diri dan melawan penyerangnya ketika kejadian itu.
Dia yang berusia dalam lingkungan 30-an dimaklumkan mengenai kejadian malang itu lewat petang semalam dan terus bergegas pulang ke rumah.
Bagaimanapun, hatinya luluh apabila diberitahu mayat isterinya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.
“Ketika melihat mayat isteri buat kali pertama, saya sebak melihat keadaannya. Saya tidak sangka arwah diperlakukan dengan begitu kejam,” katanya ketika ditemui di rumah mayat HPSF, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6 petang semalam, mangsa ditemukan maut oleh jirannya dengan leher dijerut menggunakan tali pengikat langsir selain pintu kereta dan pintu rumah terbuka.
Faris berkata, kali terakhir dia berjumpa isterinya kelmarin dan mereka sempat bersarapan sebelum dia pulang ke Pulada untuk meneruskan tugas seperti biasa.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd. Adzrul Jaafar, 31, yang menetap di Taman Maluri, Ulu Tiram memberitahu, dia mengetahui kejadian tersebut pada pukul 6.50 petang semalam sebelum bergegas ke sini bersama-sama ibunya.
“Setahu saya, arwah tidak mempunyai musuh. Saya memang terkejut dengan kejadian ini dan kami sekeluarga tiba di Muar pukul 12 malam tadi tetapi tidak dibenarkan masuk ke rumah kerana siasatan sedang dijalankan,” katanya. -UTUSAN
0 comments:
Post a Comment