SELESAI konsert separuh akhir Gegar Vaganza (GV) 2015 pada Ahad lalu, penyanyi Azian Mazwan Sapuwan,40 ada memuat naik gambar di Instagram dengan ucapan penghargaan buat peminat yang telah banyak menyokongnya.
Dalam kepsyen gambar tersebut juga, Azian ada memberitahu dia puas menyanyikan lagu Sedalam Mana Cintamu (nyanyian asal Safura) yang mengikut tema ‘Karok Tarik’.
“Alhamdulillah dapat nyanyikan lagu Karok Tarikkk ‘Sedalam Mana Cintamu’… Bukan karok mendatar ye!!” Tulis Azian.
Bagaimanapun kenyataan itu menjadi perbualan hangat peminat di media sosial dan juga laman gosip kerana ia seperti satu sindiran kepada penyanyi lain yang tidak menyampaikan persembahan mengikut tema pada malam tersebut.
Nama Farahdhiya menjadi sebutan kerana dalam konsert separuh akhir itu, Farahdhiya menyampai lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu (nyanyian asal Ramlah Ram) dengan susunan muzik baru dan tidak menggunakan suara yang tinggi.
Memulakan semula langkah dalam dunia seni, Azian sudah berhadapan dengan ‘serangan’ di media sosial. Bagi Azian dia akur untuk menghadapi cabaran dunia baru ini.
“Saya tidak ada niat pun untuk menyindir sesiapa. Saya menaip ayat tersebut dengan pantas dan tidak fikir ia ditujukan kepada mana-mana perserta GV yang lain.
“Selepas tamat konsert separuh akhir, ramai yang memberi sokongan dan memberitahu saya telah mengikut tema mingguan. Sebab itu saya tulis ayat tersebut.
“Secara tidak langsung saya juga rasa lega dapat meluahkan perasaan pada malam itu.
“Saya seorang yang kuat dan selamba. Tidak pernah rasa takut atau rimas untuk keluar rumah apabila ada orang memberi komen yang negatif di laman sosial,” ujar Azian .
Tersingkir di peringkat separuh akhir, Azian akui merasa terteka.n dan sedih sehingga menangis kerana dia juga meletakkan harapan tinggi untuk beraksi di pentas akhir GV
“Seharian selepas konsert saya rasa teramat down. Saya lihat kembali rakaman konsert dan mencari mana silapnya dalam persembahan tersebut.
“Saya tidak tunjukkan di hadapan peminat dan keluarga, namun ketika sendirian seperti selepas solat saya menangis kerana gagal ke peringkat akhir.
“Saya juga tidak membaca sebarang berita atau komen di internet sehari selepas konsert. Bagaimanapun apabila membuka semula laman sosial, saya sedar banyak sokongan dari peminat,” cerita Azian.
Tamat perjuangan di GV, Azian merancang untuk tampil dengan sebuah lagu baru dan katanya sudah ada beberapa komposer yang menawarkan lagu baru buatnya.
0 comments:
Post a Comment